Sunday, 20 July 2014


IKHLASKAN JIWA
Untuk mengikhlaskan hati, semestinya hati itu perlu dijaga dengan segala kebaikan merangkumi cara akal kita untuk berfikir tentang kebaikan itu sendiri. Dengan kita berfikir secara positif, maka setiap langkah yang bakal kita ambil semestinya akan menjurus terus kepada kebaikan, bereti disitu, kita akan dapat mengelakkan diri dari terus melakukan hal hal keburukan ataupun perkara yang terlarang oleh Allah yang dapat  menggelapkan serta mengotorkan hati. Bila kotornya hati, redha pasti dan tentu sekali sukar untuk kita genggami. Ini bermakna, daripada sudut positifnya, jika bersihnya hati, setiap kesakitan, kesedihan, kemarahan akan dapat dikawal dengan baik dengan penuh keikhlasan bahkan mungkin kita tidak akan mampu untuk marah tetapi terus bersedih dan merintih kepada Allah dengan penuh keikhlasan, in syaa Allah.
Ikhlas itu dapatlah juga dikaitkan dengan niat kita itu sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Tahu apa yang tersirat dalam hati setiap hambanya. Maksudnya disini, jika kita bersedih dalam keadaan kita sedar bahawa kita perlu redha dan ikhlaskan semuanya kerana Allah sebab tahu setiap yang menimpa diri adalah atas kehendak Allah tetapi dalam hati masih ada rasa marah, maka mungkin ikhlas kita adalah menjadi sia sia. Hal ini dapatlah dikaitkan dengan sebuah hadis:

Dari Amirul Mukminin, Umar bin Khattab: Dia berkata saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘segala amal itu bergantung kepada niatnya, dan setiap orang hanya mendapatkan sesuai dengan niatnya. Maka barangsiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya itu kerana kesenangan dunia atau kerana seorang wanita yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu kepada apa yang ditujunya.’

Hadis ini muncul kerana adanya seorang lelaki yang ikut berhijrah untuk mengahwini wanita yang bernama Ummu Qais. Dia berhijrah bukan untuk mendapatkan pahala hijrah, oleh itu dia digelar Muhajir Ummu Qais. Wallahu a’lam.
Ini dapat membuktikan dengan sekukuh kukuhnya bahawa niat adalah ibu atas segala perbuatan bahkan sekaligus menentukan sejauh mana keihklasan yang tersembunyi dalam hati yang  paling terdalam. Sesungguhnya Allah SWT  Maha Mengetahui yang tiada keterbatasan, Dia mengetahui kepura puraan sedang manusia tidak sedar.

Allah berfirman ‘Allah akan (membalas) olok-olokkan mereka dan membiarkan mereka terumbang ambing dalam kesesatan mereka.’ Surah al Baqarah ayat 15.

No comments:

Post a Comment